PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dikecam golongan perubatan kerana melanggar peraturan bagi menemui penyokongnya di luar hospital ketika sedang menjalani rawatan Covid-19 semalam.
Memetik laporan agensi berita antarabangsa, AFP, Trump yangs ebelum ini disahkan positif wabak itu dilihat memakai pelitup muka berwarna gelap dan melambai dari dalam kenderaan kalis peluru ketika membuat kemunculan sekejap di luar Pusat Perubatan Tentera Walter Reed.
Tindakan itu menyusul selepas doktor Trump dilaporkan berpuas hati dengan perkembangan hasil rawatannya.
Dalam satu taklimat sebelum ini, pasukan perubatan Trump memaklumkan, beliau mencatatkan 'pemulihan berterusan' dan boleh kembali ke Rumah Putih yang memiliki kemudahan untuk merawat serta mengasingkan Presiden itu.
Bagaimanapun dalam laporan lain, jangkitan dialami Trump didakwa serius kerana dia telah mula menggunakan dexamethasone – steroid generik yang banyak digunakan dalam penyakit lain untuk mengurangkan keradangan.
Trump dikritik pengamal perubatan |
Malah tindakan terbaharunya itu dianggap bukan hanya melanggar garis panduan kesihatan awam yang menetapkan pesakit perlu diasingkan ketika masih menjalani rawatan tetapi juga memudaratkan pasukan 'Secret Service' yang melindungi beliau.
Pakar kesihatan menggambarkan tindakan Trump itu sebagai langsung tidak mengambil sebarang iktibar.
"Setiap orang di dalam kenderaan terbabit ketika Presiden mengambil tindakan yang tidak perlu sama sekali itu, kini perlu dikuarantin selama 14 hari.
"Mereka berkemungkinan akan jatuh sakit, malah boleh mati, untuk teater politik. Diarahkan Trump supaya memperjudikan nyawa mereka bagi tujuan itu. Ini adalah tindakan gila," kata Ketua Perubatan Bencana di Universiti George Washington, James Phillips.
Pengerusi Jabatan Etika Perubatan dan Dasar Kesihatan di University of Pennsylvania, Zeke Emanuel pula menyifatkan tindakan Trump itu sebagai 'memalukan'.
"Ejen Secret Service beliau terpaksa berada di dalam kenderaan bersama seorang pesakit COVID-19, malah dengan tingkap tertutup, meletakkan mereka dalam risiko jangkitan yang tidak perlu. Dan untuk apa? Satu 'stunt' PR," ciap beliau.
0 Comments