KERAJAAN Selangor pimpinan KEADILAN mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.
Ia diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) dan mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) minggu lalu.
Antara langkah tersebut adalah ujian saringan terhadap penduduk negeri itu yang kembali dari Sabah antara 20 hingga 26 September.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ujian saringan bersasar itu adalah percuma dan boleh dibuat di Klinik Selcare - milik anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd - bermula 4 Oktober ini.
Bagaimanapun, mereka yang ingin berbuat demikian perlu menunjukkan bukti dokumen perjalanan dari Sabah serta sebagai pemastautin di Selangor.
Difahamkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mula membuat ujian saringan terhadap mereka dari Sabah pada 27 September dan ada kes di mana mereka yang kembali sebelum tarikh itu menunjukkan gejala Covid-19.
Sejak seminggu lalu, berlaku peningkatan mendadak kes baru Covid-19 yang dikaitkan dengan perjalanan ke Sabah.
![]() |
Selangor tidak galakkan himpunan ramai |
"Kegagalan pematuhan arahan ini akan membolehkan lesen perniagaan mereka dibatalkan pada kadar serta-merta," kata Amirudin dalam kenyataan.
Sementara itu, perhimpunan membabitkan ramai orang juga tidak digalakkan.
Bagaimanapun, sekiranya acara seumpama itu tidak dapat dielakkan, ia hanya dihadkan kepada 250 orang.
"Sayugia diingatkan bahawa Selangor pernah mencatatkan nilai kes yang tinggi semasa awal pandemik ini, namun kita berjaya mengawalnya.
"Ini membuktikan bahawa kaedah kita sebelum ini adalah berkesan sekiranya ia disokong penuh oleh masyarakat," katanya lagi.
Selangor turut difahamkan akan mewujdukan empat pusat tahanan sementara pendatang tanpa izin bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.