Ahli Parlimen kecewa perintah wajib kuarantin tak dilaksana


SEORANG Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (HARAPAN) melahirkan rasa kesal kerana kerajaan dilihat tidak menguatkuasa undang-undang ketat berkaitan kuarantin.

Charles Santiago (Klang) dalam satu kenyataan menegaskan pendirian bahawa semua individu yang pulang dari Sabah wajib menjalani kuarantin selama 14 hari walaupun ujian saringan awal semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa adalah negatif.

“Sekarang kita mencatatkan kebolehjangkitan yang meluas dan kemungkinan merekodkan kes lebih tinggi dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Malaysia mencatatkan 278 kes Covid-19 pada Jumaat dan mencatatkan 317 kes semalam yang merupakan tertinggi buat masa ini.

Masyarakat mengaitkan peningkatan itu dengan tiadanya arahan kuaratin yang ketat terhadap individu yang pulang dari negeri itu.

“Sangat mengejutkan bahawa Hisham (Ketua Pengarah Kesihatan) tidak berkeras untuk mengkuarantin mereka yang pulang dari Sabah sehingga terlambat dan itu juga hanya 3 hari, bukannya 14 hari,” kata Charles.

Sebagai rekod, pada September lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah tidak perlu.
 
Dalam satu sidang media Ismail berkata, peraturan kuarantin wajib selama 14 hari hanya perlu dilaksanakan jika seluruh Sabah diisytihar sebagai zon merah.

Sementara itu, Charles menolak sekiranya  1 lagi pusingan perintah kawalan pergerakan (PKP) .

1 pusingan PKP lagi akan susahkan rakyat
“Ia bukan 1 perkara main-main. Satu lagi pusingan PKP akan meruntuhkan ekonomi, menjadikan rakyat Malaysia lebih ramai kehilangan kerja, menutup lebih banyak perniagaan dan kita sudah lihat perkara ini berlaku di beberapa negara di dunia.
 
“Setiap ahli politik, anggota Kabinet atau pegawai kanan penjawat awam yang gagal menjalankan tugas mereka, mengamalkan ‘double standard’ dan menolak protokol dengan lantang mesti dihukum,” katanya.


Post a Comment

0 Comments