ROSE bidas kenyataan KM S'wak


SEBUAH pertubuhan membidas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg yang membayangkan bahawa negeri itu bakal mengadakan pilihan raya negeri “bila-bila masa dari sekarang.”

Kumpulan advokasi dari Sarawak, Rise of Social Efforts (Rose) melalui satu kenyataan berkata, ia merupakan satu keputusan tidak bertanggungjawab jika pilihan raya negeri (PRN) Sarawak diadakan tahun ini terutama ketika negara sedang berhadapan peningkatan kes Covid-19.

“Jika pilihan raya negeri diadakan tidak lama lagi atau sebelum gelombang ketiga (Covid-19) melanda, rakyat tidak akan merasa selamat untuk keluar mengundi atau bagi mereka yang menetap dan bekerja di Semenanjung, Sabah atau di luar negara, pulang ke untuk mengundi.

"Pilihan raya dalam waktu terdekat juga akan menyekat golongan muda yang bekerja atau belajar di Semenanjung untuk mengundi. Ini sekiranya reformasi undi pos tidak dilaksanakan dengan segera oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membolehkan mereka mengundi di tempat mereka tinggal," kata Presidennya, Ann Teo

PRN Sabah yang berakhir pada 26 September menyaksikan jumlah keluar mengundi sebanyak 66.28 peratus, iaitu menurun dari 77.53 peratus sewaktu PRU 2018.

Malah PRN yang diadakan dikritik rakyat kerana dilihat sebagai antara punca peningkatan kes Covid-19 yang mencatat angka harian tertinggi pernah direkodkan semalam.

ROSE gesa tangguh PRN negeri
“Oleh itu, ketika negara sedang dilanda wabak ini, ia sangat tidak bertanggungjawab mengadakan PRN Sarawak sekarang atau sebelum berakhir tahun ini, sekiranya ia dapat dihindari.

"Kerajaan negeri yang berkuasa masih mempunyai waktu sehingga Jun 2021 untuk mendapatkan mandat baru.

“Lebih baik sekiranya memastikan negara dapat melandaikan keluk (Covid-19) terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya negeri," kata Teo.

Dalam pada itu, Teo turut mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan proses reformasi undi pos bagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung.

Teo berkata rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang berkerja luar menghadapi banyak cabaran ketika pilihan raya, apatah lagi ketika wabak Covid-19 sedang melanda.

"Selain dari kos perjalanan yang tinggi dan memakan masa yang lama, (pada waktu ini) sebarang perjalanan akan merisikokan keselamatan dan kesihatan bagi pengundi yang pulang ke Sarawak untuk mengundi.

"Pencegahan atau penghalang lain adalah kemungkinan menjalani tempoh kuarantin selepas pulang,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments