PRK Batu Sapi: Penghormatan untuk mendiang VK Liew


PAKATAN HARAPAN Sabah memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan pada Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu adalah bagi menghormati parti Warisan dan  mendiang Datuk Liew Vui Keong yang menguasai kerusi terbabit sebelum ini.

"Keputusan kami adalah bagi menunjukkan tanda hormat kami kepada mendiang Liew yang menduduki kerusi Batu Sapi di bawah Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Tambahan pula, Pakatan Harapan Sabah merupakan rakan sekutu dalam gabungan WARISAN Plus," katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah turut mengambil pendekatan sama dengan tidak meletakkan calon bagi mencabar kerusi itu yang dimenangi Warisan sebelum ini.

Sementara itu, Christina yang juga merupakan Pengerusi KEADILAN Sabah membuat gesaan agar mana-mana parti atau individu untuk mengelak dari bertanding dalam PRK Batu Sapi.

Namun tegasnya jika masih ada mana-mana pihak tetap mahu merampas kerusi tersebut, maka mereka perlu memastikan pemantauan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dengan mengambil iktibar dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan sebelum ini, adanya keperluan mengetatkan lagi SOP untuk pilihan raya," katanya.

HARAPAN beri penghormatan untuk mendiang
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari pengundian PRK Batu Sapi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November, manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

Katanya, PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi itu susulan kematian Liew pada 2 Oktober lalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Post a Comment

0 Comments