PM mesti junjung titah Agong, bincang sebelum bentang


MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Muhyiddin Yassin menjunjung titah Agong, yang menasihatkan ahli politik berhenti berpolitik dan menyokong Belanjawan 2021, dengan merundingkan Belanjawan 2021 dengan mereka sebelum ia dibentangkan ke Dewan Rakyat bulan hadapan.

Gesaan itu dibuat HARAPAN dalam satu kenyataan sebaik mereka mengadakan mesyuarat di Petaling Jaya petang tadi.  

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penting isi kandungan Belanjawan 2021 dirundingkan segera supaya ia dapat mencapai objektif yang diingini Agong.

“Majlis presiden yakin semua ahli Parlimen akan terlibat dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang dititah Tuanku.

“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku, ” kata kenyataan.


Selain Anwar, kenyataan itu turut ditandatangani Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 28 Oktober lalu, Sultan Abdullah dalam titahnya menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.

Titah baru itu menyusul empat hari selepas Agong menolak memberi perkenan permohonan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Melalui kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menyeru agar ahli politik mengenepikan perbalahan dan mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan.

Sementara itu, Majlis Presiden juga menyatakan pendirian bahawa mereka bersetuju dengan Agong bahawa “amatlah penting dan serius” Belanjawan 2021 dirundingkan dengan pembangkang, ketika jutaan rakyat berada pada atau bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui bajet itu.

"Berjuta rakyat yang berada pada atau di bawah paras kemiskinanamat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan," kata mereka dalam kenyataan.

Muhyiddin digesa tampil bincang
Belanjawan 2021 juga menurut mereka perlu fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi bentang antara rakyat dan wabak Covid-19, dan perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

“Termasuk dengan mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada 2020 ini.

"Majlis Presiden yakin bahawa semua ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititah Tuanku," kata kenyataan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments