Ahli ekonomi beri amaran kepada Putrajaya


PUTRAJAYA digesa berhenti menyukarkan perniagaan beroperasi sekiranya benar-benar berniat untuk memulihkan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito dipetik laporan FMT membuat gesaan itu dengan mengkritik beberapa dasar dilaksana kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkannya sebagai terlampau luas dan mengganggu pemulihan ekonomi ketika usaha memerangi ancaman Covid-19 dilaksana.

“Langkah terbaik kerajaan ialah mengelakkan sekatan pergerakan meluas seperti di seluruh Selangor, yang jauh daripada diwajarkan dengan statistik Covid-19, merugikan kawasan paling produktif di negara ini.” katanya menurut laporan tersebut.

Ferlito kritik Putrajaya
Ferlito berkata, ekonomi Malaysia berprestasi rendah kerana disekat keputusan dasar dan ketidakstabilan politik yang mempengaruhi keyakinan pelabur.

Ketika mengulas kenyataan Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin yang dilaporkan berkata, indeks utama (LI) “berada di atas trend dan meningkat secara konsisten” yang membayangkan ekonomi dijangka terus pulih, Ferlito berkata bahawa jangkaan pemulihan ekonomi berbentuk V yang disasar kerajaan itu terlalu optimis.
 
Ferlito turut menyalahkan kerajaan kerana keputusan dibuat tanpa rundingan dengan industri dan kelemahan dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada pihak industri.

Kerajaan tegasnya wajar berunding dengan pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan atau rancangan mereka.
 
“Kerajaan perlu sedar strategi pemulihan berdasarkan kegiatan ekonomi, oleh itu pihak berkepentingan dalam ekonomi perlu dibabitkan dalam strategi bersama.” tambahnya.

Sementara itu Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi dipetik laporan serupa menjangkakan prospek tahun ini dan tahun depan akan “sangat suram”.

Justeru jelasnya, Putrajaya perlu memfokuskan B40, M40, perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan mikro.

“Fokus segera untuk mengembalikan semangat golongan ini. Jika tidak, permintaan agregat, termasuk penggunaan domestik akan tertekan.”

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan rakyat mempunyai kemampuan mencukupi untuk bertahan dalam “fasa amat sukar ini” untuk menghadapi sekatan perdagangan dan pergerakan rakyat serta gangguan rantaian nilai global.

Post a Comment

0 Comments