Muhyiddin tersepit dalam permainan diciptanya, kata Mahfuz


AHLI Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai telah 'tersepit' dalam permainan politik yang diciptanya sendiri walaupun kini mendapat sokongan BN.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dipetik laporan Sinar berkata, Presiden parti Bersatu itu telah tercalar moralnya sebagai seorang Perdana Menterin apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengisytiharan darurat dicadangkannya dan wajar bertindak 'gentelman' dengan meletak jawatan.

“Secara moralnya, apabila Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan atau nasihat daripada Perdana Menteri, ini situasi di mana beliau harus lepaskan jawatan.

"Nasihat beliau sudah tidak mendapat kepercayaan Seri Paduka Baginda, malah permainan politik Muhyiddin itu telah menyusahkan Majlis Raja-raja dan rakyat,” katanya dipetik laporan itu.

Mahfuz berkata, kenyataan Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa tiada keperluan melaksanakan darurat membuktikan Muhyiddin cuba melakukan suatu pembohongan  berkaitan situasi semasa negara.

“Ini jelas menunjukkan permohonan darurat itu lebih kepada percubaan mencipta suatu pembohongan. Yang dimohon itu bukan darurat kesihatan, tetapi darurat keselamatan menyeluruh bersifatkan politik di sebalik alasan untuk menggantung Parlimen,” katanya.

Sebelum ini pemimpin politik mengaitkan percubaan Muhyiddin mendapatkan perkenan pengisytiharan darurat dengan usul undi tidak percaya terhadap dirinya di persidangan Dewan Rakyat akan datang dan pembentangan Belanjawan 2021.

“Saya percaya Muhyiddin sudah tentu tidak mahu diingati sebagai Perdana Menteri paling singkat memerintah. Beliau tentu tidak mahu rekodnya diingati sebagai Perdana Menteri yang terpaksa lepaskan jawatan sebab hilang kepercayaan ahli Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin kini sedang ‘bersilat’ untuk memujuk pimpinan parti supaya pertahankan beliau dan mengharapkan pelepasan jawatan bukan segera, mungkin dilanjutkan hingga tempoh tertentu,” katanya lagi.

Tambah Mahfuz,  kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah sebuah kerajaan yang mementingkan kepentingan rakyat, sebaliknya mementingkan kepentingan sendiri.

Muhyiddin digesa jadi 'gentelman'
“Saya percaya Ahli Parlimen Pas dan UMNO pun ‘goncang’ sekarang sebab kedudukan mereka bergantung kepada kedudukan Muhyiddin, kalau kerajaan PN runtuh, mereka hilang segalanya.

“Adakah kita masih lagi mahu pertahankan kerajaan yang lemah ini, ia akan menyebabkan pelabur menjauhkan diri susulan kerajaan sedia ada ‘goyang’,” katanya.



Post a Comment

0 Comments