Komunikasi k'jaan lemah, strategi tangani kemelut tidak jelas - Anwar


KERAJAAN
Perikatan Nasional (PN) wajar memperbaiki sistem penyampaian komunikasi dan arahan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak menjadikannya sebagai bahan ketawa.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,walaupun PKP telah diumumkan sejak lapan bulan lalu, namun maklumat mengenai arahan itu gagal disampaikan dengan baik.

"Terdapat banyak kekeliruan terkait prosedur operasi standard (SOP) dan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan Menteri berkaitan. Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang.

“Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa," katanya Presiden KEADILAN itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, banyak pihak tidak berpuas hati dengan cara penyampiaan berkaitan SOP oleh kerajaan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan menyuarakan rasa kesal dengan 'diskriminasi’ dan kekeliruan yang dicetuskan oleh kerajaan dalam melaksanakan arahan bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiausahanya, Mohd Faisal Husin berkata, arahan itu bukan sahaja tidak dirujuk dengan pihak berkepentingan seperti kumpulan majikan dan wakil pekerja , ia juga mempunyai banyak kelemahan ketara.

Bagaimanapun, kritikan orang ramai berhubung kekeliruan itu 'dibalas' Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob dengan 'gelak kecil' atas kekeliruan itu yang memaksa orang ramai mencari lebih banyak maklumat.

Anwar sementara itu menegaskan bahawa apa-apa perubahan arahan atau panduan oleh kerajaan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah MITI benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua.

Anwar gesa sampaian maklumat lebih tepat
"Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

"Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan," kata Anwar lagi.

Retail Group Malaysia (RGM) sebelum ini menjangkakan kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang.

Melihat kelemahan itu, Anwar menyifatkan strategi kerajaan dalam menangani kemelut akibat Covid-19 dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi masih tidak jelas.

 

Post a Comment

0 Comments