Kes Khairuddin, k'jaan tak sedar rakyat makin bijak- Penganalisis


KEPUTUSAN
untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razaliyang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 hanya akan menghakis imej kerajaan.
 
Dua penganalisis politik yang dipetik laporan portal FMT berkata, mereka percaya kini rakyat melihat keputusan itu sebagai tindakan dwi standard atas kesalahan serupa bila ia melibatkan rakyat biasa dan ahli politik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak  mendakwa Khairuddin Aman Razali, yang sebelum ini dikompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bukan sahaja akan menjejaskan imej gabungan pemerintah, tetapi juga parti PAS.

Tegasnya, garis panduan Islam dalam menangani wabak berbalik kepada zaman Nabi, apabila orang ramai diberitahu supaya mengikuti prosedur kuarantin dan juga mematuhi larangan lain, sekiranya ada penularan penyakit.

“Mereka cakap pasal Islam dan ajaran Islam, tetapi orang mungkin akan rasa PAS, yang kini berkuasa, tidak lagi ikut ajaran Nabi,” katanya.

Untuk rekod, Khairuddin, seorang pemimpin PAS sebelum ini dikritik rakyat.

Ia berhubung tindakannya yang tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada Julai.

AGC semalam memaklumkan Khairuddin tidak akan didakwa atass alasan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan, selepas dikatakan tiada borang arahan kuarantin diserahkan kepada Khairuddin.

Rakyat akan hilang rasa hormat
Sementara itu, Jeniri Amir daripada Majlis Profesor Negara berkata, orang ramai akan melihat perkara itu sebagai contoh kecenderungan kerajaan untuk bersikap dwi standard.

Katanya, keputusan itu mengambarkan kerajaan kelihatan tidak sedar bahawa masyarakat kini celik politik dan akan memantau tindak-tanduknya dan juga parti politik.

“Mereka akan fikir ada satu peraturan untuk golongan elit dan 1 untuk rakyat. Orang ramai akan hilang rasa hormat kepada ahli politik dan menteri,” tambah dipetik sebahagian laporan itu
.



Post a Comment

0 Comments