Khairuddin 'terlepas', Teresa anggap keputusan berat sebelah


KEMENTERIAN
Kesihatan (KKM) dituntut menjelaskan mengapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali tidak dikeluarkan borang untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki pada Julai.

Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok membuat tuntutan itu selepas Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan keingkarannya mematuhi perintah kuarantin kendiri wajib Covid-19 oleh Khairuddin sebagai “tiada tindakan lagi” (NFA).

Teresa, individu awal yang mendedahkan isu tersebut di Dewan Rakyat sebelum ini menyifatkan 'pembebasan' pemimpin kerajaan daripada parti PAS itu sebagai double standard.

“Keputusan ini jelas menunjukkan ‘double standard’. Apabila pulang dari Sabah, kita perlu melalui banyak proses, meluangkan beberapa jam di lapangan terbang dan perlu menjalani proses kuarantin. Semua yang kembali dari luar negara juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

“Adakah ini salah KKM? Ia perkara yang sangat mudah. Terpulang kepada KKM,” katanya dipetik FMT.

Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus sebelum ini dikritik wargamaya selepas isu ingkar itu didedahkan, beliau pulang dari Turki pada 7 Julai 2020 dan hadir ke sidang Dewan Rakyat enam hari selepas pulang iaitu pada 13 Julai ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dengan Azhar Harun sebagai speaker.

Ahli Dewan Ulama PAS itu kemudian dikena kompaun RM1,000 selepas didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Warganet walau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan hukuman itu dan membandingkannya dengan hukum penjara sehari dan didenda RM8,000 yang dikenakan terhadap seorang wanita selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Keputusan mengklasifikasikan kes Khairuddin sebagai NFA diumumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed yang berkata menteri terbabit tidak dikeluarkan borang 14B untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Sehubungan itu jelas Huzir, tiada bukti jelas yang memberikan asas untuk kes itu didakwa mengikut Akta 342. Teresa bagaimanapun mempersoal alasan itu.

Teresa persoal keputusan
“Sekarang kita diberitahu KKM tidak mengeluarkan borang kuarantin kepada (Khairuddin). Mengapa ia tidak diberitahu kepada kita apabila isu ini kali pertama dibangkitkan?” katanya.

Sebagai rekod, Dari 10 Jun hingga 23 Julai, kerajaan menetapkan bahawa individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari atas perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Ia kemudian dipinda dan golongan terbabit perlu menjalani kuarantin kendiri di hotel atau pusat kuarantin disediakan.