Kes Covid meningkat, persatuan perubatan salahkan kerajaan PN


PENTADBIRAN
Muhyiddin Yassin terus dikritik susulan peningkatan kes baru berkaitan Covid-19.

Dua kumpulan perubatan mengaitkan peningkatan kes baru-baru ini dengan kegagalan kerajaan melaksana prosedur kuarantin secara ketat ke atas mereka yang pulang dari Sabah.

Jurucakap Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial dipetik laporan FMT berkata kuarantin 14 hari seharusnya diwajibkan tanpa mengira keputusan ujian awal dengan ujian ke-2 wajar dilakukan pada hari ke-13 seperti dijalankan kepada individu ketibaan antarabangsa.

“Ujian mandatori dan kuarantin untuk mereka yang pulang sepatutnya dibuat lebih awal kerana orang ramai membuat perjalanan ke daerah yang terjejas di Sabah pada hari-hari menuju PRN,” kata presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy dipetik.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Azrul Khalib pula berkata mengadakan pilihan raya ketika wabak berisiko tetapi menambah kebimbangan tersebut boleh dikurangkan sekiranya “diurus dengan baik” dan “ada disiplin serta pematuhan SOP yang kuat oleh ahli politik dan orang awam.

Perintah kuarantin wajib itu tegasnya bukan perkara yang sukar untuk dilakukan.

“Kuarantin kendiri selama 14 hari akan sangat bermanfaat dalam mengawal penyebaran jangkitan, terutama ahli politik yang berjumpa dan berinteraksi dengan ramai orang berbanding orang biasa,” katanya.

Tambah mereka lagi, kegagalan dalam arahan berkaitan kuarantin diburukkan lagi dengan kegagalan individu untuk mengamalkan jarak fizikal, memakai pelitup muka, dan SOP lain.

Kelemahan kuarantin dilihat sebagai punca
“Sebilangan ahli politik dan orang awam dalam acara politik dilihat tak jaga jarak fizikal sementara ada yang tanggalkan pelitup muka macam dapat kita lihat dengan jelas dalam sedutan rakaman kempen di TV.”

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzli mengkritik keputusan tidak mewajibkan kuarantin ke atas mereka yang pulang dari Sabah sebelum 27 September dan, kemudian membenarkan mereka lepas tanpa sebarang sekatan pergerakan sementara selepas hanya sekali keputusan ujian negatif.

Rakyat pula melihat cubaan rampasan kuasa di Sabah yang akhirnya membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai punca peningkatan kes berkaitan Covid kembali menghantui rakyat.

Sementara itu Dr Subramaniam mengkritik sikap sebahagian ahli politik yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat berhubung isu SOP

“Rakyat ditangkap dan didenda kerana ingkar PKPP dan SOP setiap hari, tetapi orang VIP nampak seperti bebas.

“Rakyat sekarang ini berasa marah dengan dwi standard dalam penguatkuasaan,”katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments