KEPUTUSAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah untuk tidak menerima permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi mengisytiharkan darurat dipuji pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sebahagian mereka menganggap keputusan itu sangat tepat dan mencerminkan kebijaksanaan baginda dan sekaligus satu tamparan kepada tindakan Ahli Parlimen Pagoh mengheret negara dalam keadaan 'darurat'
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, beliau menyambut baik keputusan itu yang menurutnya berlandaskan semangat perlembagaan dan kefahaman Paduka Baginda terhadapa denyut nadi rakyat negara ini.
"Saya menyambut baik serta menghargai kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta ihsan dan hemah Raja-Raja Melayu atas kenyataan, pendirian dan pandangan terkait permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.
"Keputusan dan ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul Perdana Menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
"Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh-tokoh akademik dan pihak media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai," kata Anwar melalui kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim pula berkata keputusan Seri Paduka menolak nasihat perdana menteri supaya darurat diisytiharkan memyerlahkan bahawa baginda faham dengan mendalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawa kuasa budi bicara terletak pada tangan Yang di-Pertuan Agong.
“Baginda pada akhirnya mendapati selepas berunding dengan raja-raja Melayu bahawa syarat suatu darurat besar itu tidak wujud. Dengan kata lain baginda tidak berpuas hati.
“Dalam tradisi dan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, saya berpendapat penolakan Yang di-Pertuan Agong adalah satu tamparan kepada perdana menteri dan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Tindakan yang bermaruah yang perlu diambil oleh Muhyiddin ialah beliau sepatutnya segera meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan Seri Paduka dipuji |
“Sistem raja berpelembagaan kita terbukti sebagai satu benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia,” katanya lagi.
Sebelum ini, Muhyiddin telah mengadap Yang di-Pertuan Agong hari Jumaat lalu untuk mencadangkan darurat. Pengkritik melihat ia sebagai usaha Muhyiddin untuk mempertahankan kuasanya selepas terdapat spekulasi ada anggota parlimen Umno yang mungkin tidak lagi menyebelahinya.
Bagaimanapun, Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah dikeluarkannya selepas mengadakan mesyuarat bersama Raja-Raja Melayu semalam menegaskan tiada keperluan untuk darurat disytiharkan.
Satu kutipan pandangan dijalankan sebuah pusat kajian turut mendapati percubaan Muhyiddin mengheret negara dalam darurat ditolak oleh rakyat.
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan berkata ang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu telah melakukan perkara yang sangat bijaksana dengan tidak mengistyiharkan perintah darurat seperti yang dicadangkan oleh kerajaan.
Jelasnya keputusan itu juga membuktikan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak boleh sewenangnya digunakan mengikut kehendak hati.
“Keputusan Agong telah mengambil kira kepentingan rakyat yang sebenar-benarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
0 Comments