Gencatan politik hanya langkah selamatkan PN, kata bekas menteri


NAIB
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melihat gencatan politik antara Umno dan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yassin mengandungi muslihat.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, gencatan itu yang zahirnya kelihatan jujur dan mudah mendapat simpati adalah langkah untuk menyelamatkan kerajaan PN sekaligus menutup kelemahan cara kerajaannya mengendalikan krisis Covid-19.

"Dalam proses itu, mengeksploitasikan Covid-19 sebagai talian hayatnya untuk kekal berkuasa. Justeru, Covid-19 sangat mudah menjadi alasan politik beliau untuk menagih simpati kerana kelemahannya.

"Lantas beliau mendedahkan rakyat kepada risiko tinggi yang terpaksa ditanggung hanya kerana alasan berhenti dari berpolitik waktu ini. Niat sebenarnya adalah untuk kekal berkuasa.

Menurut Dr Mujahid lagi, kerajaan PN mahu menutup episod 'tebuk atap' yang pada hakikatnya menjadi punca kepada segala kecelakaan politik yang berlaku hari ini dan menafikan kepentingan lebih besar untuk melihat siapa lebih baik untuk menjaga negara.

“Muhyiddin menafikan potensi membentuk sebuah kerajaan selain Perikatan Nasional (PN) yang lebih baik dan efisien untuk mengendalikan keadaan.

Mujahid dakwa gencatan ada niat tersembunyi
"Muhyiddin membentuk PN atas pembelotan kepada mandat asal Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga menyebabkan kepercayaan sebahagian rakyat kepada entiti kerajaan terjejas teruk

“Relakah kita untuk rehat seketika (gencatan politik) jika Muhyiddin dan kerajaan PN terus menerus menodai demokrasi untuk mengekalkan pembelotannya tempoh hari semasa Langkah Sheraton?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengingatkan,  menolak pembelot yang merosakkan asas penting demokrasi adalah langkah terbaik membentuk kerajaan yang stabil yang seterusnya dapat memacu hala tuju negara dengan lebih baik.

“Semua pihak yang insaf jika memahami fundamental demokrasi bernegara akan bersetuju dengan saya bahawa tindakan dan langkah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan 91 ahli Parlimen bersamanya adalah untuk menyeru rakan-rakan wakil rakyat yang lain agar menjadi tanggungjawab kita untuk kembalikan demokrasi supaya kerajaan bermandat dan berwibawa dapat dibentuk.

“Kita perlu perbetulkan kerosakan ini melalui politik kerana Muhyiddin telah melanggar prinsip ini secara politik juga dan semasa Covid-19 telah menular.

“Jika demokrasi terpelihara, maka sihatlah kerajaan. Dengan kata lain, kewibawaan kerajaan bergantung kepada sejauh mana asas demokrasi terjamin dan terpelihara,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments