Bagaimana rakyat mahu patuh jika menteri langgar SOP?


PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa pentadbiran Muhyiddin Yassin meluluskan peruntukan untuk mengekang penularan gelombang ketiga wabak koronavirus (Covid-19).

Tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata,  Muhyiddin perlu membuktikan kemampuan mereka menyekat penularan gelombang ketiga Covid-19 dan memastikan semua rakyat boleh bersatu padu melawan wabak ini.

"Ada rakyat yang marah ahli politik yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) melawan Covid-19 sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh teladan baik kepada rakyat.

"Bagaimanakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu memastikan semua rakyat mematuhi SOP Covid-19 sedangkan orang-orang kenamaan seperti menteri boleh melanggari SOP ini tanpa sebarang hukuman?" soalnya.

Sebagai rekod, pentadbiran Muhyiddin dikritik rakyat baru-baru ini susulan peningkatan semula kes baru jangkitan Covid-19.

Banyak pihak termasuk pakar melihat kegagalan memperketat SOP kuarantin bagi individu yang pulang dari kempen di Sabah sebagai punca penularan semula wabak itu sejak seminggu lalu.

Muhyiddin perlu tunjuk kemampuan
Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kabinet dan politik dari parti lain disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Kit Siang menegaskan bahawa seruan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang meminta petugas barisan hadapan bersedia melawan gelombang ketiga wabak itu perlu diberi perhatian oleh semua.

"Rakyat perlu bersama-sama melawan penularan wabak ini.

"Kini rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dalam berhadapan gelombang ketiga penularan wabak ini berbanding dengan semasa kita gelombang pertama dan kedua," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments