JUMLAH sebenar Ahli Parlimen yang telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin didedahkan.
Beberapa portal bebas dalam laporannya hari ini berkata, seramai 25 Ahli Parlimen mengemukakan usul berkenaan berdasarkan senarai draf Aturan Urusan mesyuarat pada sidang parlimen 2 Nov ini.
Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (DAP), Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew, yang juga Pengerusi KEADILAN Sabah, 11 ahli Parlimen Amanah, 7 dari Warisan dan 5 dari Pejuang.
Malaysiakini dalam laporannya mendedahkan usul tidak percaya yang pertama menurut Aturan Mesyuarat adalah dari sekutu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Usul dikemuka Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) berada di kedudukan nombor 18, diikuti oleh usul percaya oleh Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh).
Selain 25 usul tidak percaya terhadap Muhyiddin itu, 2 usul percaya terhadap Muhyiddin turut dikemukakan Ahli Parlimen.
Selain Nik Muhammad Zawawi, Shahidan Kassim (BN-Arau) turut mengemuka usul serupa.
Sebagai rekod, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada Mei, tetapi ia tidak dibahaskan.
25 usul tak percaya terhadap Muhyiddin |
Sebelumnya, Muhyiddin tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar sokongan yang didakwa diperolehinya. Presiden parti Bersatu itu sebelum ini disifatkan telah mengalami kekalahan moral apabila permintaan untuk melaksanakan darurat ditolak Yang di-Pertuan Agong.
Pengkritik mendakwa, permintaan Muhyiddin itu merupakan helah bagi menyelamatkan kedudukannya setelah terdapat rancangan untuk menolak rang undang-undang perbekalan (belanjawan) yang akan dibahaskan di Dewan rakyat dari 9 November hingga 10 Disember ini.
Rancangan menolak belanjawan tersebut merupakan alternatif kepada usul tidak percaya, difahamkan Muhyiddin perlu meletak jawatan dan kerajaan dipimpinnya tumbang.
Sementara itu, dipetik laporan FMT, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berkata, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin perlu diutamakan dan menjadi perkara pertama dalam agenda Dewan Rakyat yang akan bersidang semula 2 Nov ini.
Bekas speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu berkata, tiada faedah wakil rakyat membincangkan perkara lain jika kerajaan sedia ada tidak dapat bertahan lagi.
0 Comments