SEORANG Saksi dalam kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa 1MDB membuat pinjaman lain ketika tanggung hutang RM32 bilion
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO 1MDB yang menjadi saksi pendakwaan berkata, pinjaman itu untuk menyiapkan usaha sama (JV) dengan Aabar Investment PJS meskipun memiliki bon bernilai AS$3 bilion yang dikeluarkan bagi JV itu.
Pada 2014, syarikat pelaburan yang dikaitakan dengan skandal kewangan terbesar negara itu berdepan kemelut hutang serius sebanyak RM32 bilion.
Lebih mengejutkan, Shahrol Azral yang dipetik laporan Bernama ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mendakwa 1MDB tidak mempunyai pilihan selain membuat pinjaman tersebut kerana perlu mematuhi arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyiapkan JV itu sebelum lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi.
Wan Aizuddin: Sewaktu 1MDB dibebani hutang berjumlah RM32 bilion, adakah ia satu langkah yang bijak untuk membuat pinjaman lain bagi mengelak belian balik?
Shahrol Azral: Jawapan yang mudah ialah kami tidak mempunyai pilihan kerana kami telah menerima arahan yang jelas daripada PMO untuk menyelesaikan JV itu.
Untuk rekod, pilihan belian balik adalah bagi menebus ‘Opsyen Aabar’ semasa pengambilalihan loji kuasa bebas pada 2012 seperti yang dipersetujui antara 1MDB dan Aabar. Penebusan itu dibuat melalui anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited.
Wan Aizuddin: Bagaimana anda tahu arahan itu datangnya daripada PMO?
Shahrol Azral: Terdapat beberapa perkara yang dimaklumkan kepada saya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan ada juga e-mel daripada setiausaha sulit utama Najib iaitu Allahyarham Azlin Alias yang memperincikan bentuk terakhir JV itu.
Wan Aizuddin: Syarikat sudahpun dibebani hutang berjumlah berbilion dolar tetapi anda masih membuat pinjaman lain?
Shahrol Azral: Ia adalah konsisten dengan arahan PMO dan Jho Low kepada saya itu menyelesaikannya (perjanjian JV)...Dan ia bukan pinjaman lain, ia adalah pembiayaan semula.
Wan Aizuddin: Jadi anda membuat pinjaman lain untuk membiayai pinjaman itu? Adakah ia pada kadar lebih rendah?
Shahrol Azral: Ia dipanggil pembiayaan semula dan ya, secara idealnya, ia adalah pada kadar yang lebih rendah.
Saksi kesembilan itu berkata tidak ada kelulusan daripada lembaga pengarah 1MDB berhubung penggunaan bon bernilai AS$3 bilion yang diperoleh 1MDB untuk membiayai projek pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai TRX).
Wan Aizuddin: Anda boleh juga mengesahkan bahawa tidak ada kelulusan daripada lembaga pengarah 1MBD berhubung penggunaan bon bernilai AS$3 bilion itu?
Shahrol Azral: Tidak ada kelulusan khas. Namun, ada satu ketika Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir mengemas kini lembaga pengarah berhubung perkara itu dan berkata dana tersebut akan diletakkan di bawah pengurus dana.
Shahrol Azral berkata perjanjian dengan Aabar diteruskan meskipun dibebani hutang.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
0 Comments