BEKAS Menteri Besar Johor, Osman Sapian dilihat seolah-olah mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan terhadapnya.
Ia susulan kehadiran ADUN Kempas itu dalam satu lagi acara parti Pejuang malam tadi yang dipercayai bagi meraikan jentera parti itu daripada Johor yang berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim baru-baru ini.
Gambar-gambar itu memaparkan Osman berucap, bergambar dan makan malam bersama pentokong parti itu, manakala satu video yang tular memaparkan Osman melaungkan “Hidup Pejuang!”.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai kedudukan Osman sebagai ahli parti Bersatu susulan tindakannya berkempen untuk calon bebas yang melawan Barisan Nasional (BN) di PRK Slim.
Pengerusi lembaga displin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Megat Najmuddin bahawa keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian dalam parti itu telah terlucut dan bekas Menteri Besar Johor ke-16 itu tidak lagi perlu didakwa di depan lembaga disiplin.
Ia jelasnya berdasarkan Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3.
Bagaimanapun, Megat Najmuddin kemudiannya menukar kenyataan dengan berkata, Osman masih ahli parti dan Osman akan dipanggil terlebih dulu bagi menjawab tuduhan membantu calon bebas di Slim sebelum keputusan dibuat terhadapnya.
Sebagai rekod, kedudukan Osman sangat penting bagi menentukan kerajaan Johor.
Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai kelebihan dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),
Jika Osman mengalihkan sokongan kepada pembangkang, DUN Johor boleh tergantung apabila kedua-dua pihak mempunyai bilangan kerusi yang sama.
0 Comments