SEORANG wakil rakyat negeri Selangor menyarankan agar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menambah baik sokongan dan pengurusan agihan air setiap kali berlakunya gangguan bekalan air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G Gunaraj membuat gesaan tersebut selepas merasa kurang berpuas hati dengan cara pengurusan bantuan yang disalurkan kepada enam Pusat Dialisis dan lima hospital serta lebih 150,000 penduduk DUN Sentosa.
"Dalam situasi yang berlaku di luar jangka ini yang telah memberi kesan kepada hampir semua penduduk di Selangor, pihak pengurusan Air Selangor wajar menambah baik daripada sudut sokongan lori tangki air yang lebih dan pengurusan masa agihan air yang lebih sistematik," katanya dalam kenyataan.
Gunaraj turut mendakwa, lori tangki yang membekalkan air kepada penduduk tidak mencukupi.
Justeru, beliau menggesa Air Selangor boleh memperbaiki situasi itu kelak dengan bekerjasama bersama operator lori tangki air swasta dengan lebih erat agar bekalan air dapat disegerakan kepada penduduk.
"DUN Sentosa berkongsi Pusat Khidmat Setempat Bersama DUN Sungai Kandis. Air Selangor hanya menyediakan dua lori tangki air sahaja pada sebelah siang dan hanya ada penambahan satu lori tangki air pada sebelah malam.
"Lori tangki air jumbo mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk mengisi semula air daripada tempat simpanan air dan pihak Air Selangor juga tidak dapat memberi satu garis masa bila penyediaan air dapat diberikan," tambahnya sambil berharap insiden seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang
Sebelum ini, Gunaraj dilihat turun padang membantu penduduk yang terputus bekalan air.
Melalui laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Pusat Khidmat masyarakat DUN Sentosa telah menggerakkan skuad khas bagi mengagihkan bekalan ke kawasan-kawasan terbabit dengan menggunakan lori kecil, kereta serta kenderaan pacuan empat roda.
0 Comments