PIERRE Gasly memenangi aksi luar biasa saingan Grand Prix (GP) Itali di Monza semalam.
Pelumba Perancis dari pasukan Alpha Tauri memanfaatkan kelewatan 25 minit kerana bendera merah selepas Charles Leclerc terbabas bersama jentera Ferrari.
Lewis Hamilton yang bermula di petak depan hampir mencipta kemenangan selesa sebelum dikenakan penalti 10 saat untuk memaksa juara dunia dari Mercedes itu ke barisan belakang.
Kemenangan itu menjadi kejayaan pertamanya dalam kejuaraan Formula Satu (F1) setahun selepas disingkirkan oleh Red Bull ke pasukan junior, Alpha Tauri.
"Saya melalui emosi yang tidak menentu sejak 18 bulan lalu," kata pelumba dari Perancis itu.
"Secara jujur, saya masih tidak mempercayai kemenangan ini. Saya tidak dapat menggambarkan apakah yang sebenarnya berlaku ketika ini.
"Ia adalah perlumbaan yang sangat mencabar. Kami memanfaatkan peluang sepenuhnya ketika bendera merah dikibarkan. Jentera juga sangat pantas dan kami juga menerima saingan sengit daripada pasukan lain," jelasnya.
Gasly menamatkan perlumbaan mengatasi Carlos Sainz dari McLaren di tempat kedua dan Lance Stroll (Racing Point) ketiga.