Pemimpin Umno kena tuduhan tambahan bawah AMLA


BEKAS pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH),  Abdul Azeez Abdul Rahim berdepan satu lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLA) 2001.

Memetik laporan media tempatan, pihak pendakwaan membuat satu lagi tambahan pertuduhan terhadap Abdul Azeez dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi hari ini

Ahli Parlimen Umno yang mewakili rakyat Baling itu berdepan  pertuduhan di bawah Amla 2001 kerana didakwa menerima hasil haram daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Ia membabitkan pertuduhan menerima sebuah kereta berjenama Toyota Vellfire bernilai lebih RM400,000 daripada syarikat berkenaan.

Abdul Azeez bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan ke atasnya dan memohon agar dibicarakan.

Berdasarkan 10 pertuduhan itu, Abdul Azeez didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram hampir RM14 juta.

Pada 16 Jan tahun lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Abdul Azeez juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang antara 2010 dan 2018.

Kesemua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Amla yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.
 

Post a Comment

0 Comments