SEMUA parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disaran agar mempertaruhkan calon-calon yang bersih.
Badan sukarela pilihanraya, Bersih Sabah dalam kenyataannya berkata, calon mestilah bebas dari tuduhan mahkamah, termasuk rasuah. Mereka juga wajar membuat pengisytiharan aset mereka kepada umum.
Tambah mereka, perkara itu perlu disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum menjelang hari penamaan calon kelak.
Sementara itu, Bersih Sabah turut mengingatkan kedua-dua kerajaan iaitu kerajaan Sabah dan Persekutuan untuk tidak menyalahgunakan sumber awam sepanjang tempoh berkempen.
"Harus ada persaingan yang setara untuk semua parti dan calon yang bertanding.
"Kami mengulangi seruan untuk pilihan raya yang bersih, bebas dan adil dan mematuhi semua undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," kata kenyataan itu lagi.
Bersih Sabah turut menggesa pengundi berdaftar menunaikan kewajipan mereka pada PRK itu nanti.
"Pengundi yang layak diminta keluar memilih bagi memastikan bahawa PRN Sabah kali ini bersih, bebas dan adil dengan memberikan hasil yang dapat dipercayai.
Mereka turut menggesa semua pihak termasuk pengundi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.
0 Comments