KEADILAN hormati keputusan rakyat Sabah - Anwar


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) DatuK Seri Anwar Ibrahim menerima keputusan rakyat Sabah yang telah memilih Perikatan Nasional untuk mengemudi negeri itu.

Melalui satu kenyataan media, Anwar berkata, pihaknya menghormati keputusan itu, namun berharap agar proses pembentukan semula kerajaan negeri Sabah dapat dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal yang telah bertungkus lumus mempertahankan kerajaan Warisan yang terbentuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP yang memenangi enam kerusi dan UPKO yang berjaya memenangi satu kerusi.

"Tahniah juga diucapkan buat Pengerusi Keadilan Sabah, Datuk Christina Liew di atas kejayaan mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat Keadilan berbanding 2018," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan HARAPAN (HARAPAN) itu turut memohon jasa baik semua pihak termasuk pemimpin parti politik yang berkempen di Sabah agar terus mematuhi arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KEADILAN hormati pilihan rakyat Sabah
Anwar turut menggesa mereka melakukan saringan dan kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari Sabah dalam usaha mengekang penularan Covid-19 terutama ketika berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan.

"Saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments