DAKWAAN Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mendapat sokongan mencukupi bagi dilantik sebagai perdana menteri wajar diberi perhatian, tegas Ahli-Ahli Parlimen dari parti itu.
Melalui satu kenyataan, Ketua Whip Parlimen KEADILAN, Datuk Johari Abdul menegaskan bahawa mesyuarat dilakukan bersama Ahli Parlimen KEADILAN semalam bersetuju agar mandat memerintah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu dikembalikan dengan kerajaan baharu dibentuk.
"Kami mengambil maklum dengan kenyataan bahawa ramai Ahli Parlimen Umno Barisan Nasional (BN) telah beralih sokongan dan kini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Maka jelas Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sebagai Perdana Menteri," katanya.
Menurutnya lagi, langkah untuk membentuk sebuah kerajaan baru penting sebagai memastikan politik negara stabil sekaligus sebagai usaha memacu kembali pertumbuhan ekonomi negara.
"Ahli-ahli Parlimen KEADILAN memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018 dengan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya.
"Sebarang sokongan daripada mana-mana Ahli Parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan kuat," katanya melalui kenyataan tersebut.
![]() |
Kerajaan baru mesti kukuh |
"Kerajaan juga mesti fokus memantapkan tatakelola dan melaksanakan reformasi institusi, termasuk badan kehakiman," tambahnya.
Melalui kenyataan itu juga, Johari Abdul memaklumkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN juga memanjatkan doa agar Yang di-Pertuan Agong sembuh daripada kegeringan baginda dan menyelesaikan isu-isu kenegaraan dengan baik.
"Kami memanjatkan doa agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diberikan kesembuhan segera dan dikurniakan kesihatan yang baik," kata Johari lagi.
0 Comments