Anwar jumpa Shafie, bincang agihan kerusi


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Presiden Warisan Shafie Apdal hari ini untuk membincangkan pengagihan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Melalui kemas kini di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan mereka bincangkan soal pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

"Saya sampaikan hasrat KEADILAN selaku rakan sekutu untuk terus diberikan ruang dengan adil dan saksama sebagai parti yang mempunyai sejarah di Sabah.

"Kami juga bersetuju bahawa kesemua calon yang akan bertanding dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap sekali gus kekal mengemudi Sabah," maklum Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Semalam, Anwar hadir merasmikan Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.

Dalam ucapannya, Anwar memaklumkan untuk berjumpa Shafie bagi menyampaikan hasrat kepimpinan tertinggi di negeri itu.

Tegasnya, KEADILAN harus diberikan ruang baik pada PRN negeri kerana parti tersebut mempunyai sejarah politik di Sabah

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson itu dalam ucapanya turut berkata, KEADILAN atau rakan (parti sekutu) dihadap dapat bekerja sebagai satu pasukan kuat pada PRN akan datang.

KEADILAN kuat di Sabah


Sementara itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui peratusan kerusi kepada parti itu pada PRN Sabah sebagai 'sangat kecil'.

Bagaimanapun, katanya, masih ada tempoh seminggu lagi sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini untuk memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN berkenaan, termasuk senarai calon dan ia antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan antara Anwar dan Mohd Shafie. 

"Pertemuan tertutup itu dihadiri Anwar, Mohd Shafie dan saya sendiri. Tujuannya adalah untuk melakukan 'fine tuning' bagi memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN.

"Mohd Shafie juga menyampaikan beberapa perkara berkaitan persiapan di peringkat negeri secara keseluruhan. KEADILAN mengambil peluang ini untuk mendengar kedudukan terkini dan kita masih ada seminggu untuk muktamadkan semuanya," katanya.

Saifuddin berpendapat, KEADILAN harus diberi peluang meletakkan lebih ramai calon berikutan terdapat penambahan 13 kerusi  DUN Sabah berbanding 60 kerusi sebelum ini.

"Dengan kekuatan yang KEADILAN ada, kita rasa amat munasabah untuk (pertambahan) kerusi ditandingi.

"Kekuatan KEADILAN adalah dari segi jumlah keanggotaan di mana Sabah negeri kedua tertinggi selepas Selangor dengan 173,907 keahlian. Antara kawasan dengan keanggotaan tertinggi adalah Kudat, Tawau, Pensiangan, Silam, Kudat dan Sepanggar.

"Jumlah itu menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap parti ini," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments