Amanah tak derhaka, cuma lari dari dilacurkan - Mahfuz

KENYATAAN Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan parti Amanah Negara (Amanah) umpama 'anak derhaka' bukan sesuatu yang mengejutkan.

Pemimpin parti serpihan PAS itu, Mahfuz Omar berkata, pemimpin utama PAS itu sememangnya sudah sinonim dengan sikapnya suka melabel pihak lain terutama seteru politiknya dengan pelbagai gelaran.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, realiti di sebalik kenyataan Abdul Hadi itu adalah salah sama sekali kerana sikap pemimpin PAS sendiri yang menyebabkan kewujudan parti Amanah.

"PAS ini ibarat ibu bapa yang suka berjudi, kemudian bila kalah judi dia mahu lacurkan anak.

"Sebagai anak kita bukan derhaka, daripada kena lacur lebih baik lari selamatkan diri," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Sebagai rekod, Abdul Hadi pernah mengibaratkan Mahfuz Omar sebagai 'orang yang dah lama mati' di dalam PAs

"(Dia) ibarat orang dah lama mati, baru tanam," kata pemimpin parti Islam itu dalam sebuah video yang dikongsi di Facebooknya sebagai mengulas tindakan Mahfuz keluar daripada PAS pada 2017.

Sementara itu, Mahfuz menegaskan Amanah diwujudkan oleh pimpinan PAS yang menghidu lebih awal parti itu mahu bekerjasama dengan Umno yang selama ini ditentang habis-habisan.

Mahfuz bidas kenyataan Abdul Hadi
Justeru katanya, daripada 'dilacurkan' kepada Umno lebih baik mereka lari untuk selamatkan diri.

"Kami bukan anak derhaka, tapi bertindak melarikan diri selepas hidu lebih awal tindakan yang dibuat oleh ibu bapa. Ini bukan soal DAP," kata Mahfuz yang pernah berada dalam PAS selama lebih 30 tahun.

Post a Comment

0 Comments