TINDAKAN Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun yang tiba-tiba menangguhkan sidang dan meninggalkan tempat duduknya ketika urusan pengundian belah bahagi membuat Ahli Parlimen 'terpinga-pinga'.
Melalui rakaman yang dikongsikan semalam, keadaan dewan kecoh dilihat seketika selepas insiden itu berlaku.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat bangkit mempertikaikan tindakan Azhar dengan sebahagian dari mereka didengar memanggil beliau masuk semula.
"Seperti petua yang telah saya berikan pada 11 Ogos 2020, saya tempohkan mesyuarat dewan selama 10 minit, terima kasih," kata Azhar sebaik saja membenarkan permohonan undi belah bahagi bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan kerajaan diadakan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan tindakan Azhar dan menegaskan bahawa perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau turut mempersoalkan apakah Ahli Parlimen di pihak kerajaan tidak mencukupi.
"Orang tak cukup ke? Tak pernah buatlah (tangguh)," kata Khalid.
R.Sivarasa (HARAPAN - Sungai Buloh) pula berkata, undi belah bahagi menjadi tidak sah kerana sidang ditangguhkan.
"Undi tak sah sebab Parlimen ditangguh. Saya harap Speaker faham. Ini perkara asas," katanya dipetik.
Sementara RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong) mencelah sambil meminta Speaker supaya tidak 'hijack' Parlimen.
Bagaimanapun selepas 10 minit, Azhar kembali dan proses undian belah bahagi dimulakan.
Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang menyaksikan kerajaan meminta peruntukan sebanyak RM7.18 bilion kemudian diluluskan dengan majoriti 5 undi.
Sementara itu, Azhar dalam satu laporan media menjelaskan masa rehat itu bertujuan membolehkan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam pengundian.
0 Comments