AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok sekali lagi membangkitan isu seorang menteri yang didakwa ingkar perintah kuarantin wajib 14 hari.
Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan apakah keluarga Khairuddin Aman Razali dan anggota agensi kerajaan yang difahamkan menyertai kunjungan menteri Pas itu ke Turki menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya difahamkan lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Turki juga diiringi oleh ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan. Apakah mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut SOP kerajaan?” soalnya.
Teresa turut menyuarakan rasa bimbang tindakan Khairuddin akan menyebabkan penularan dengan terbentuknya kluster baharu sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Sekiranya beliau (Khairuddin) dijangkiti penyakit Covid-19 dari Turki, maka beliau berkemungkinan menyebarkan koronavirus ini kepada beribu-ribu orang sehingga mungkin wujudnya ‘Kluster Khairuddin Takiri’ di Malaysia,” katanya lagi.
Pemimpin DAP itu menyenaraikan 12 majlis umum sejak 10 hingga 19 Julai lalu yang dihadiri Khairuddin Aman Razaliselepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu tanpa menjalani kuarantin wajib 14 hari.
“Berdasarkan Facebook Khairuddin, beliau mula menghadiri majlis rasmi 3 hari selepas pulang dari Turki. Program pertamanya ialah majlis perasmian kursus asas pembangunan usahawan coklat di Duyong Marina Resort di Terengganu pada 10 Julai.
“Dari 10 hingga 21 Julai, beliau menghadiri 12 program/mesyuarat yang mungkin melibatkan beberapa ribu orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Khairuddin antara lain turut menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 dan 16 Julai lalu, sebuah majlis di Jasin, Melaka, konvoi berbasikal di Kuala Nerus, program di Pantai Penarik dan Pulau Duyong di Terengganu.
Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus ketika ditemui media di Terengganu malam tadi enggan mengulas lanjut dakwaan pelanggaran perintah kuarantin wajib itu.
Manakala dalam satu laporan media, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pihaknya sedang menyiasat dakwaan terhadap pelanggaran SOP itu.
0 Comments