Permohonan semak persetujuan bubar DUN Sabah ditolak


MAHKAMAH
Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan semakan kehakiman difailkan 33 ADUN terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dun pada 30 Julai lepas
 
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim, seperti dilapor Bernama.

Bulan lalu, ketua menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dun Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri selepas mendapat persetujuan Yang di-pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin.

Langkah itu diambil selepas bekas ketua menteri yang juga Adun Sibuga, Musa Aman mendakwa memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Susulan itu pada 30 Julai lalu Musa dan 32 Adun yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk mencabar pembubaran Dun berkenaan.

Mereka menamakan Juhar dan Shafie sebagai responden pertama dan kedua.

Buat Rayuan
Namun Sinar dalam satu laporan lain berkata, Musa dan 32 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah mengemukakan rayuan selang beberapa minit selepas Mahkamah membuat keputusan.

Peguam Tengku Fuad Ahmad berkata, terdapat dua perkara dalam penghakiman hari ini oleh hakim mendapati terdapat satu ‘locus standi’ untuk membawa kes semakan kehakiman.

Sementara itu Peguam Besar Sabah, Brenddon Keith Soh berkata, tidak sepatutnya ada sebarang ketidakpastian mengenai pilihan raya negeri, sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, berikutan penghakiman hari ini.

“Mahkamah telah menolak kes terhadap responden, tiada semakan semula diberikan untuk proses demokrasi pilihan raya negeri diteruskan, kini akan berjalan dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubarannya.

“Akhirnya, ini bukan peguam atau mana-mana pihak, kes hari ini tentang menegakkan Perlembagaan Negeri Sabah, hari ini tentang rakyat Sabah, bukti demokrasi masih wujud di Sabah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan 26 Sept ini untuk pilihan raya negeri (PRN) manakala hari pencalonan pula pada 12 Sept.