ULASAN
| Begitu tinggi usaha pihak tertentu daripada kerajaan Perikatan
Nasional (PN) untuk mendesak dan menghukum Lim Guan Eng, walaupun kes
tersebut telah ditutup oleh SPRM, akhirnya beliau didakwa juga di
mahkamah.
Agak luar biasa serta aneh kes projek yang dibuat
melalui tawaran terbuka dan Pengerusi lembaga tawaran terdiri daripada
penjawat awam yang bermula hampir 10 tahun dahulu yang ditutup kesnya
selepas siasatan SPRM diberi asakan dasyat dan liputan besar secara
meluas oleh kerajaan PN.
Adakah ini usaha kerajaan Melayu Islam PN
untuk menuntut 'keadilan' ke atas 'salah laku' bekas Ketua Menteri
daripada parti DAP yang pernah menerajui Pulau Pinang?
Bersama
Umno dalam kerajaan PN adalah PAS sebuah parti yang mendakwa dirinya
parti Islam yang selalu melaungkan nilai murni keadilan Islam di setiap
kampung dan desa.
Untuk
membuktikan nilai keadilan Islam yang kononnya dihajatkan, PAS
hendaklah menuntut membuka kembali siasatan berbagai kes projek sakit
dan runtuh terutamanya di negeri Terengganu yang diwarisi sekarang dari
Umno.
Terengganu diberi nama jolokan memalukan - "Terengganu Darul
Runtuh" kerana berbelas projek yang runtuh dan sakit semasa dan selepas
siap pembinaan.
Di antaranya ialah tiga projek terkemuka yang
bernilai hampir RM1 bilion iaitu Stadium bolasepak Gong Badak, Taman
Ilmu Besut dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir.
Setelah
siasatan runtuhan bumbung stadium RM300 juta dibuat, anehnya tiada
sesiapa didapati bersalah walaupun selain daripada runtuhan dua buah
generator serta kabel dan peralatan elektrik bernilai berjuta ringgit
juga hilang dicuri.
Taman Ilmu bernilai RM350 juta
terbengkalai menjadi projek sakit, bangunan pentadbirannya terpaksa
dirobohkan dan kabel serta peralatan elektriknya juga dicuri dengan
kerugian puluhan juta ringgit. Selepas hampir 20 tahun ia masih belum
dibuka.
Pusat Bebas Cukai Kenyir bernilai hampir RM300 juta terbengkalai dan masih belum dapat digunakan selepas 10 tahun.
Demi
keadilan, kerajaan Melayu Islam-PN Terengganu yang diterajui PAS,
Menteri Besar mesti mendesak SPR menyiasat ke akar umbi kenapa wang duit
rakyat Terengganu yang terdiri 95 peratus orang Melayu Islam dibiarkan,
dibazir dan diselewengkan begitu sahaja.
Raja
Petra Kamaruddin yang tinggal di England telah berjaya memainkan
peranan utama mendesak Lim Guan Eng didakwa kes Terowong Bawah Laut
Pulau Pinang selepas 10 tahun.
Raja Idris Kamaruddin, adik kepada
Raja Petra, yang menjadi orang kepercayaan Menteri Besar Terengganu yang
dilantik menerajui GLC penting, sepatutnya memainkan peranan sama
mendesak kerajaan Terengganu dan SPR menyiasat mengapa begitu banyak
projek runtuh, tidak siap dan sakit.
Berbeza daripada projek
terowong Pulau Pinang, Projek Taman Ilmu Terengganu melibatkan berbagai
kes saman di mahkamah oleh kontraktor Korea dan kontraktor tempatan ke
atas kerajaan negeri, termasuk pegawai-pegawai Kerajaan dan juga
syarikat berkait dengan Umno melibatkan puluhan juta.
Kes ini dipercayai berbau skandal yang besar melibatkan kerajaan dan pegawai tertinggi. Menteri Besar mesti bertindak.
Tiada
gunanya kepakaran Raja Idris Kamaruddin yang berasal dari Selangor dan
beberapa lagi rakan dari luar negeri Terengganu seperti Nurul Islam,
Zaidi Talib dan W.Haswari memegang jawatan mendahului peluang kerja anak
Terengganu kalau mereka tidak memainkan peranan berkesan menasihati
Menteri Besar dengan baik.
Ramai rakyat anak Terengganu menyoal
peranan mereka. Ada juga yang bertanya adakah Raja Idris masih memegang
pasport British seperti abangnya? Raja Petra mempunyai "kekebalan"
melempar berbagai tuduhan tidak bertanggungjawab dari England jauh dari
tindakan undang-undang Malaysia.
Islam menutut keadilan
Kalau
Lim Guan Eng atas kes Terowong yang belum pun bermula lagi boleh
didakwa selepas 10 tahun, projek-projek Terengganu yang sudah pun
berjalan, runtuh, terbengkalai dengan berbagai kes saman melibatkan
warga asing, kontraktor tempatan dan pegawai kerajaan, patut diberi
perhatian utama dan tindakan oleh Menteri Besar Terengganu.
Malangnya
Terengganu terkenal sebagai negeri mempunyai projek yang "berlaku
jenayah tanpa penjenayah"- "crime without criminals".
Atau adakah
kerajaan PN mengamalkan pengadilan cara terpilih - selective
prosecution? Adakah kerana kes Pulau Pinang melibatkan DAP dan bukan
Islam ia diasak habis- habisan?
Adakah kes-kes di Terengganu
melibatkan pihak Melayu-Islam jadi tiada minat untuk menuntut keadilan
walaupun melibatkan ratusan juta ringgit duit rakyat Terengganu ?
Adakah kerajaan Melayu Islam PN berhasrat mengamalkan tuntutan murni agama Islam sebenarnya ?
Ingatlah
contoh Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W yang menuntut supaya sebaik-baik
keadilan diberi kepada seorang Yahudi yang mencuri barang kepunyaannya.
Islam menuntut keadilan untuk semua dengan tidak mengira agama atau bangsa. Itulah kerajaan Islam sebenarnya.
RAJA BAHRIN SHAH adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu.
Tulisan ini pertama kali disiar di Malaysiakini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.
0 Comments