SEBUAH pertubuhan berkaitan alam sekitar menyuarakan rasa bimbang atas kegiatan kuari termasuk pengambilan tanah merah dalam kawasan tanah yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Segari Melintang di daerah Manjung.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan berkata, kegiatan kuari tersebut dibimbangi akan memberi impak kepada ekosistem hutan dan kawasan semula jadi pesisiran pantai.
Isu tersebut tegas mereka bukan perkara baharu dibangkitkan, kebimbangan mengenai impak terhadap ekosistem itu pernah disuarakan oleh mereka pada tahun 2017.
Difahamkan, ketika itu Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Hutan Simpan Segari Melintang.
"Kelulusan kegiatan kuari dalam HSK bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 (MTN) pada tahun 2014 iaitu semua negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK.
"Kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara," kata SAM melalui kenyataan tersebut.
Sementara itu, SAM menuntut Kerajaan Negeri menyegerakan cadangan pewartaan Taman Negeri Segari Melintang yang secara dasarnya telah dipersetujui.
Ini bagi mengelakkan kawasan HSK diluluskan untuk dilaksana kegiatan kuari dimana dirian pokok bernilai akan diusahasil secara tebang habis dan litupan hutannya akan dimusnahkan.
Dalam kenyataan itu, SAM turut menyuarakan kebimbangan aktiviti pemusnahan pokok bernilai akan diteruskan susulan terdapat permohonan baharu untuk dilaksana kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21 seluas kira-kira 122 hektar serta kegiatan pengambilan tanah merah di sebahagian Kompartmen 54 seluas kira-kira 49 hektar di kawasan HSK itu.
0 Comments