Permohonan Najib dan peguam ketepi Sri Ram ditolak


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur  menolak permohonan semakan kehakiman oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Bernama dalam laporannya berkata, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu semalam selepas mendapati tiada bukti menunjukkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tersalah di sisi undang-undang dalam pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan.

"Adalah jelas Peguam Negara telah membuat pertimbangan yang teliti sebelum melantik Sri Ram sebagai TPR kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan pengalaman luas Sri Ram dalam bidang perundangan.

"... oleh itu, mahkamah berpendapat bahawa Peguam Negara atau Pendakwa Raya (PR) telah memutuskan bahawa Gopal Sri Ram adalah orang yang sesuai dan tepat untuk dilantik sebagai TPR kanan bagi mengetuai pasukan pendakwaan yang berkaitan skandal 1MDB pada waktu itu," katanya dipetik laporan itu.

Hakim berkata, mahkamah juga setuju dengan responden (Peguam Negara /Pendakwa Raya, Kerajaan dan Sri Ram) bahawa kerajaan seperti entiti swasta, boleh memilih atau memberi kuasa kepada mana-mana peguam bela untuk mewakili mereka di mana-mana mahkamah.

Hakim tu juga mendapati pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan menurut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) adalah sah di sisi undang-undang.

Pada Disember 2018, bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai TPR kanan dalam kesnya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad.

Selain mewakili Najib, Muhammad Shafee turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta, yang belum bermula.

Najib dan Muhammad Shafee menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya sebagai responden pertama, manakala Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) CPC.

Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.

Permohonan mereka juga membabitkan perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.  

Susulan keputusan Mahkamah itu, Najib dan Muhammad Shafee diperintah membayar kos RM10,000 setiap seorang kepada responden.

Post a Comment

0 Comments