PELUANG untuk Ahli Parlimen Gombak, Mohammed Azmin Ali mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya sejak beberapa penggal lalu dilihat tidak semudah dijangka.
Ia susulan kenyataan Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin yang membayangkan Umno bersama rakan gabungan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) keberatan melepaskan kerusi tersebut kepada bekas Timbalan Presiden Keadilan (KEADILAN) itu.
Megat Zulkarnain berkata pihaknya "tidak meraikan sangat" pihak yang melompat parti walaupun ke partinya sendiri.
Justeru tegasnya, mana calon mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) di Gombak - sama ada untuk kerusi Parlimen mahupun DUN - perlu mendapat pihak yang dirujuknya sebagai "Muafakat Nasional yang asal".
"Saya orang silat...kita ada prinsip kita. Sebagaimana kita rasa sedih bila kalah PRU ke-14 (dan) ahli Parlimen (Umno) melompat, begitulah juga perasaan kita bila orang lain lompat dari parti mereka. Jadi tak adil kalau kita terima dan raikannya," katanya dipetik satu laporan media.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, Megat Zulkarnain yang juga setiausaha agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) jelas menyasarkan Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.
Sebagai rekod, Azmin dan sembilan lagi anggota Parlimen yang keluar dari KEADILAN pada Febuari lalu, insiden itu dianggap pencetus jatuhnya pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada awal Mac lalu.
Dikalangan penyokong HARAPAN mereka dianggap sebagai 'pengkhianat' manakala penyokong Umno dan Pas pula dilihat sukar untuk menerima mereka.
Terdahulu, hubungan antara MN Gombak dengan Azmin tegang apabila menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu didakwa meminggirkan Umno dan PAS Selangor.
Pada 18 Julai lalu, Yang di-Pertua PAS Gombak Salehuddin Mohd Nasir berkata pihaknya tidak ingin bekerjasama dengan Azmin dan telah memaklumkannya kepada setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham, yang juga Adun Gombak Setia.
0 Comments