Mengapa Khairuddin belum didakwa?


ISU
berkaitan seorang menteri, Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki terus dipersoal.


Walaupun PAS melalui Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man kelihatan cuba meredakan isu keingkaran itu dengan menegaskan bahawa tiada kluster baru terhasil daripada insiden tersebut, namun beberapa rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) sendiri terus menggesa menteri terbabit dikenakan tindakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali berkata, tiada sesiapa yang melebihi undang-undang kerana akta digubal adalah bertujuan untuk melindungi rakyat dan negara.

Noor Azmi ketika diaju soalan oleh seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai sikap Khairuddin turut membandingkannya dengan semangat patriotik ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menjalankan kuarantin susulan kakitangan Istana dikesan dijangkiti Covid sebelum ini.

“Sesiapa saja kalau kita lihat, semasa Covid-19 ini, malah Agong sendiri melalui kuarantin.

“Tetapi, kalau ada kes lebih serius yang dijalankan penyiasatan polis, maka ini terpulang kepada agensi seterusnya seperti pihak polis dan peguam.

“Kalau kes Seksyen 24 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dihadapkan ke mahkamah, maka mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk kesalahan dilakukan dan tak kira sesiapa,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mempersoalkan mengapa Khairuddin belum didakwa di Mahkamah.

Mahfuz membangkitkan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob bahawa mereka yang melanggar peraturan akan didakwa di mahkamah mulai April lalu.

Sebelum ini rakyat Malaysia menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kompaun RM1,000 dikenakan terhadap Khairuddin. Beberapa pemimpin HARAPAN menyifatkannya sebagai berat sebelah.

Bekas Menteri Belia dan Sukan,  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan persoalan apakah hukum hudud sekiranya dilaksanakan PAS, ia bakal dikuatkuasakan secara adil.

Soalan ditimbulkannya susulan hukuman terhadap Khairuddin dianggapnya lebih rendah dari dikenakan terhadap beberapa individu sebelum ini.
 
“Rakyat biasa yang langgar kuarantin, didenda RM12,000 dan dipenjara sampai lima bulan.

“Bila melibatkan menteri, "undang undang" lain dipakai untuk menyelamatkan kawan.

“Kalau hudud dilaksanakan, rakyat biasa dipotong tangan, menteri potong kuku (potong gaji) sahaja,” ciapnya di Twitter.  
 

Post a Comment

0 Comments