SEORANG lelaki ditemukan mati tertimbus tanah di sebuah kebun di Batu 24, Batu Kurau dekat Taiping.
Mangsa, Mohd Zakaria Yahya, 48 sebelumnya dilapor hilang selepas keluar untuk mendulang bijih timah dikawasan itu sejak pagi semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melalui satu kenyataan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan membongkok dan tertimbus tanah pada kedalaman lima meter.
"Mangsa dilaporkan hilang ketika memasuki kebun dipercayai untuk melakukan kerja mendulang bijih timah sejak 7 pagi semalam dan keluarganya membuat laporan polis setelah lelaki itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam.
"Bomba yang menerima laporan pada jam 10.09 malam segera ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa termasuk menggali tanah menggunakan peralatan khas sebelum berjaya membawa keluar mangsa 40 minit kemudian," kata JBPM.
Petugas Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
0 Comments