Kerjasama UAE dengan Israel: Apa pendirian Hadi?


DUTA Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang digesa menyatakan pendirian dalam isu perjanjian damai dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata Abdul Hadi sebagai Duta perlu segera menyatakan pendirian dan pandangan beliau tentang hubungan Malaysia dengan Israel susulan isu tersebut.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan kerajaan Melayu-Islam mesti membuat pendirian jelas.

"Perjanjian damai disusuli hubungan diplomatik penuh di antara Tel Aviv dan UAE amat mengemparkan.

"Dan selepas ini siapa pula? Adakah Malaysia akan menyusul?

"Rakyat Palestin yang puluhan tahun dizalimi Israel berasa dikhianati saudara seislam dan bangsa Arab sendiri," tegasnya yang menggesa kerajaan segera menyatakan pendirian.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 13 Ogos lalu mengumumkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE Mohammed Zayed bersetuju memeterai perdamaian yang dikenali Perjanjian Abraham.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Khamis menyuarakan pendiriannya menolak pengumuman perjanjian didakwa mahu memulihkan hubungan diplomatik UAE dengan rejim Israel.

"Adakah perniagaan dengan Israel dan pengaruh AS lebih penting kepada kerajaan PN berbanding pembelaan saudara Islam Palestin yang sudah lama dizalimi?" soal Kamarul Bahrin.

Sementara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah Muhammad Fauzi Hasim yang mendesak agar Kementerian Luar menghantar bantahan rasmi kepada Abu Dhabi dan Washington.

"Pemuda Amanah akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak-hak mereka, selari dengan ajaran Islam dan tuntutan kemanusiaan sejagat.

"Kami menganggap tindakan UAE itu sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan menuntut hak-hak rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel selama ini," kata Muhammad Fauzi.

Post a Comment

0 Comments