Keluarga Adib kritik cadangan inkues semula


CADANGAN
dari kerajaan Perikatan Nasional agar inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib diadakan semula menerima tentangan daripada keluarga Allahyarham.

Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata cadangan itu hanya membuang masa, selain tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu yang memutuskan punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

Ia juga jelasnya melengahkan keadilan buat arwah anaknya setelah hampir dua tahun kejadian itu berlaku dan mereka sudah terlalu lama bersabar menunggu pembelaan terhadap arwah.

"Kita sudah buang banyak masa dan banyak tenaga membabitkan ramai orang. Mahkamah Koroner membuat keputusan berdasarkan siasatan dan saksi termasuk banyak pakar dipanggil sebelum keputusan dibuat.

"Siasatan polis harus menjurus kepada keputusan Mahkamah Koroner dan perlu menghormati keputusan itu, kenapa mereka tak boleh terima keputusan itu," katanya dipetik.

Pada Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainuddin berkata kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Selain membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara, turut dicadangkan ialah supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK) berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang yang memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan lebih ringan


Sementara itu, keluarga Muhamad Adib turut mempersoalkan mengapa suspek kematian anggota bomba berkenaan dituduh dengan pertuduhan lebih ringan.
https://t.me/kartelmedia
"Saya ada tengok perkembangan cadangan itu, jadi kami hairan juga kenapa tuduhan semula itu dibuat dengan seksyen (peruntukan) lebih ringan, sebaliknya bukan dengan pendakwaan kerana membunuh?

"Saya akan berhubung dengan barisan peguam berhubung perkara ini," katanya menurut laporan portal lain.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Insiden kematian Muhammad Adib sebelum ini sering dijadikan isu bagi memperlekeh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) oleh penyokong parti politik tertentu.

Mereka memberi gambaran kononnya kerajaan HARAPAN ketika itu tidak serius mencari jalan membela kematian anggota bomba terbabit.

Post a Comment

0 Comments