KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan satu kes baru berkaitan Covid-19 hari ini.
Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 9,002 kes.
"Ingin dimaklumkan bahawa satu kes baru yang dilaporkan hari ini adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.
"Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan.
Tambah Dr Noor Hisham lagi, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 193 kes.
"Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes positif yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini," tambahnya. Sementara itu, terdapat 16 kes yang telah pulih sepanjang tempoh 24 sehingga 12 tengahari tadi.
Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 kini adalah sebanyak 8,684 kes atau 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memaklumkan berita tular mengenai arahan kepada ibu bapa dan pelajar yang bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah perlu menjalani saringan Covid-19 di klinik kesihatan berdekatan adalah palsu.
Jelasnya, KKM tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi seperti yang tular.
0 Comments