Bung tiada kuasa dalam pentadbiran Felcra - saksi

PENGERUSI  Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin didakwa ada menghubungi seorang bekas ahli lembaga pengarah (ALP) Felcra bagi menandatangani surat pemindahan wang pelaburan RM150 juta milik agensi itu.

Abdul Fattah Abdullah, 61, ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen memberitahu Bung yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, menghubunginya untuk mengetahui sama ada beliau berada di pejabat bagi tujuan menandatangani surat itu.

“Bung Moktar tanya saya sama ada berada di pejabat atau tidak kerana ada dokumen yang dibawa oleh bahagian kewangan Felcra perlu ditandatangani,” kata saksi pendakwaan ke-6 itu.

Bung, 60, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38.

Perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual dan dilakukan melalui isterinya, Zizie Ezette A Samad, yang juga seorang pelakon.

Abdul Fattah ketika disoal timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria sama ada beliau mengetahui tujuan pemindahan RM150 juta berkenaan, Abdul Fattah berkata: “Tahu, untuk membuat pelaburan dalam Public Mutual.”

Saksi itu berkata, beliau tidak bertanya mengenai pelaburan RM150 juta itu dan hanya menandatangani surat tersebut seperti yang diminta.

Ditanya Siti adakah menjadi kesalahan sekiranya Felcra tidak melakukan pelaburan tunai baharu sebanyak RM150 juta seperti disyorkan Kementerian Kewangan, Abdul Fattah berkata: “Tidak”.

Sementara itu, Abdul Fattah turut berkata, Bung tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran Felcra.

Selain tuduhan pertama,  Bung turut didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan serupa.

Bung juga berdepan tuduhan ke-3 secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan sama.

Isterinya, Zizie, 41, berdepan 3 pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
 
Terdahulu,  seorang lagi bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra,  memberitahu Mahkamah Sesyen  bahawa lembaga tersebut tidak pernah membincangkan pelaburan RM150 juta sebaliknya perkara itu hanya dimaklumkan Bung.
Dr Habibah Suleiman, 72 berkata bahawa keputusan untuk menaikkan pelaburan dari RM50 juta yang dipersetujui sebelum ini kepada RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual tidak pernah dibincang.

Post a Comment

0 Comments