BESAN Najib Razak dinamakan sebagai suspek kes rasuah berkaitan dengan siasatan yang sedang dilakukan oleh polis Indonesia.
Memetik laporan media, tindakan pihak berkuasa negara jiran itu dibuat susulan penangkapan salah seorang buruan yang dikehendaki, Djoko Tjandra, di Kuala Lumpur bulan lalu.
Djoko dilapor melarikan diri pada tahun 2009, sehari sebelum Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda 15 juta rupiah berikutan sabitannya dalam kes rasuah Bank Bali.
Sementara itu, Jurucakap polis pusat Indonesia Argo Yuwono menamakan suspek sebagai "TS", yang merupakan singkatan bagi nama hartawan Tommy Sumardi.
Identiti suspek dan hubungan keluarga dengan Najib kemudiannya didedahkan penyelaras Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki) Boyamin Saiman, menurut portal dalam talian Detik.com.
Tommy ialah orang yang rapat dengan Djoko dan Setya Novanto, bekas speaker parlimen Indonesia dikenakan hukuman penjara 15 tahun setelah disabitkan dalam skandal rasuah perolehan kerajaan.
Tommy dituduh memberi rasuah kepada dua pegawai kanan polis untuk memudahkan penghapusan notis merah Interpol terhadap Djoko.
"Dia (Tommy) mengikuti hubungan perniagaan Djoko," kata Boyamin seperti dilapor Malaysiakini sambil mengaitkan pembinaan menara 1MDB yang diberi nama Signature The Exchange 106 di Tun Razak Exchange oleh Kumpulan Mulia Indonesia di bawah kendalian saudara Djoko, Eka Tjandranegara sebagai presiden merangkap pengarah dan pemiliknya.
Boyamin turut mendakwa apa yang bermula sebagai hubungan perniagaan yang melibatkan Djoko, Tommy dan Najib perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia ketika itu secara beransur-ansur menjadi lebih peribadi.
Hubungan perniagaan itu dakwanya membawa kepada pertemuan anak perempuan Tommy, Fitri Aprinasari Utami dan anak Najib, Mohd Nazifuddin, yang akhirnya melangsungkan perkahwinan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.
Menjawab pertanyaan yang diajukan mengenai amaran merah Interpol terhadap Djoko, Mulia Group pada tahun 2015 berkata Djoko tidak lagi memegang sebarang jawatan atau saham dalam kumpulan itu walaupun Boyamin menegaskan hari ini bahawa pengumuman itu hanyalah "penyamaran" untuk menghindari pertanyaan daripada pihak berkuasa.
"Itu hanya penyamaran. Djoko Tjandra ialah pemilik yang mendapat manfaat (beneficial owner)," katanya.
Memetik laporan Malaysiakini, kaitan Djoko dengan Malaysia ditimbulkan oleh bekas peguam negara Indonesia, HM Prasetyo
Prasetyo seperti laporan media mendakwa bahawa peguam negara Malaysia ketika itu, Apandi Ali, pada tahun 2016 telah membuat permintaan peribadi baginya untuk mempertimbangkan supaya menggugurkan sabitan terhadap hartawan berusia 68 tahun itu dan membenarkannya kembali sebagai seorang bebas.
Dia kini menjalani hukuman penjara dua tahun dan dijangka diadili atas tuduhan rasuah tambahan berkaitan dengan siasatan dana haram yang sedang berlangsung.
0 Comments