BEKAS Presiden Umno, Najib Razak diperintah membayar RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Perintah itu susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan agensi itu terhadap bekas perdana menteri itu bagi menuntut jumlah tunggakan berkenaan.
Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati jumlah tunggakan cukai pendapatan tambahan berkenaan perlu dikenakan dan dibayar oleh Najib sebagai hutang kepada kerajaan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tidak boleh memenuhi permohonan Najib selaku defendan untuk mendengar rayuan bagi jumlah tunggakan yang dipertikaikan itu.
Sebagai rekod, penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.
Pada 25 Jun tahun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas perdana menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.
Jumlah itu termasuk kadar faedah tahunan lima peratus bermula tarikh notis taksiran, serta ganti rugi kos serta relif lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.
Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN pada 25 Jun lalu dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.
Pada Julai lalu, seorang anak kepada Ahli Parlimen Pekan itu turut diarah membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta cukai kepada kerajaan.
Perintah itu dikenakan kepada Mohd Nazifuddin susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman terhadap Mohd Nazifuddin bagi menuntut jumlah terbabit.
Selain kedua mereka, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa turut berdepan saman serupa dari LHDN bagi tuntutan cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta bagi tahun taksiran 2011 sehingga 2017.
0 Comments