Bas terjun tasik, 21 penumpang maut


SEKURANG-kurangnya 21 orang penumpang sebuah bas dilapor terbunuh selepas bas dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik.

Dalam kejadian di wilayah Guizhou di barat daya China itu, bas tersebut dilapor dalam perjalanan membawa pelajar menduduki ujian kemasukan kolej, 15 yang lain dilapor cedera dalam kejadian itu.

Agensi berita AFP dalam laporan yang memetik kenyataan Jabatan Pengurusan Kecemasan tempatan  memberitahu, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit merempuh penghadang jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam tasik Hongshan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan bas terbabit terbabas dan melintasi lima lorong sebelum memasuki laluan bertentangan serta merempuh penghadang jalan.

Imej turut memaparkan pasukan penyelamat yang berada di lokasi kejadian sedang bertungkus lumus mengeluarkan kenderaan dari dalam tasik terbabit.

Difahamkan, lebih 200 orang membantu mengeluarkan mangsa termasuk 55 penyelam profesional

Pihak berkuasa tempatan sementara itu memberi jaminan akan menyiasat punca kemalangan itu.

Post a Comment

0 Comments