SEBANYAK 15 kes baru positif Covid-19 dikesan pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia sebanyak 8,587.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu daripada 13 daripada kes itu adalah penularan tempatan, bagaimanapun ia tidak membabitkan warganegara Malaysia.
“Dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara di mana mereka adalah warganegara Malaysia.
“Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan warganegara. Kesemua 13 kes penularan di dalam negara adalah di kalangan bukan warganegara,” katanya ketika mengulas perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, bagi kes melibatkan bukan warganegara, satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan 21 individu telah pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan discaj hari ini .
Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya kepada 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan tiada kes kematian baru dilaporkan hari ini, jumlah kumulatif kematian kekal 121 orang atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, sebanyak 289 pesakit yang telah diasingkan dan diberi rawatan merupakan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.Dua pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi tiada lagi yang memerlukan bantuan pernafasan.
0 Comments