Jadi menteri mentor lebih relevan untuk Tun M


KEPUTUSAN untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohammad sekali lagi sebagai Perdana Menteri tidak lagi relevan untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) serta rakan sekutunya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, pemimpin gabungan itu sewajarnya mengambil kira bahawa populariti bekas perdana menteri itu kian merosot dalam kalangan rakyat.

Berbanding cuba mempertahankan keputusan untuk mengangkat Mahathir sebagai perdana menteri buat kali ketiga, Pakatan Harapan tegasnya wajar mencari formula lain terutama sebagai strategi meraih semula sokongan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Ia tegas Mohamad Hisomuddin adalah langkah penting kerana HARAPAN kini jelasnya berada dalam mod bertahan atau defensif, manakala upperhand berada di pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pada PRU yang lepas, kita mengakui dengan kehadiran beliau dan juga apa yang dikatakan kombinasi Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berjaya mewujudkan lonjakan pengundi Melayu kepada gabungan itu.

“Tetapi dalam menghadapi PRU15, bagi saya Pakatan Harapan Plus perlu mencari formula yang lain dan naratif yang lain untuk mereka menghadapi  apa yang dikatakan mengukuhkan sokongan mereka di kawasan luar bandar dan bercampur, tetapi mengambil angka yang signifikan untuk mengekalkan kuasa.

"Persoalan untuk menghadapi PRU15, saya rasa, mempunyai angkubah yang berbeza, yang mana mungkin pada pengamatan kami di lapangan dalam tempoh sekarang ini ialah kemerosotan populariti Tun Dr Mahathir,” katanya dipetik laporan Awani.

Pandangan itu disuarakan Mohamad Hisomuddin susulan keengganan Mahathir memberi laluan kepada Anwar untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Walaupun HARAPAN sebelum ini dilapor telah sepakat menamakan Anwar sebagai calon mereka, namun Mahathir didakwa masih mahu menjawat jawatan itu untuk tempoh enam bulan lagi.

KEADILAN dalam kenyataan mereka sebelum ini menolak cadangan memberi sekali lagi peluang kepada Mahathir. Mereka menegaskan untuk tetap berpegang kepada persetujuan pertama iaitu Anwar sebagai perdana menteri dan digandingkan bersama Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, rakan sekutu parti itu, DAP dan parti Amanah negara melalui kenyataan beberapa pemimpin dilihat cuba memaksa Anwar bersetuju untuk menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri disamping Mahathir.

Tawaran sebagai menteri kanan

Anwar bagaimanapun dalam satu temubual bersama sebuah agensi berita antarabangsa berkata, beliau terbuka untuk melantik Mahathir sebagai menteri kanan sekiranya dilantik menerajui pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Mohd Hisomuddin berpandangan, menamakan Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor dalam kabinet Pakatan Harapan merupakan satu pilihan yang baik.

Beliau berkata, pengalaman Ahli Parlimen Langkawi itu mentadbir negara selama lebih daripada 22 tahun mampu membantu Pakatan Harapan merangka dasar dan polisi yang bersesuaian.

"Idea ini sebenarnya proses transisi kuasa daripada janji Pakatan Harapan dahulu yang mana selepas Tun Dr Mahathir akan menyerahkan kepada Datuk Sri Anwar.

"Jadi dalam proses mentor itu, yang dikatakan untuk memberikan panduan, dan bagi saya bimbingan yang diperlukan berdasarkan pengalaman yang dimiliki Dr Mahathir untuk menghadapi kerajaan menghadapi situasi pasca pandemik, bagi saya itu adalah kekangan yang cukup hebat,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Mahathir dilapor menolak tawaran itu dengan alasan beberapa Perdana Menteri sebelum ini enggan mendengar nasihatnya.

Post a Comment

0 Comments