KES Chikungunya di Perak dilapor meningkat secara mendadak.
Sepanjang tempoh Januari hingga Sabtu lalu, sebanyak 454 kes Chikungunya direkodkan di negeri itu, iaitu peningkatan lebih 30 kali ganda berbanding hanya 13 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata berlaku peningkatan 441 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes tertinggi tahun ini, iaitu 157, diikuti Larut Matang dan Selama (109 kes), manakala Kinta (99 kes).
“Dalam tempoh sama, Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lay Ming lagi, terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif, termasuk satu lokaliti wabak tidak terkawal, iaitu tempoh wabak berlarutan lebih 14 hari di Kinta.
Terdapat 14 lokaliti wabak terkawal, iaitu tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang dan Kinta mencatatkan 12 lokaliti serta 2 lokaliti di Kampar.
Bagaimanapun jelasnya, setakat ini tiada kematian direkodkan akibat Chikungunya.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati punca utama penularan jangkitan Chikungunya disebabkan indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit.
“Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah longgokan sampah haram, lot kosong terbiar seperti premis atau rumah kosong yang tidak berpenghuni, terutamanya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).” katanya.
0 Comments