Darell kritik kenyataan salahkan kaum lain




TIDAK adil untuk menyalahkan orang bukan Melayu dan mengugut kewarganegaraan mereka setiap kali timbul isu membabitkan orang Melayu.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Inatius Darell Leiking berkata begitu sebagai mengkritik kenyataan dibuat ketua penganjur Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling semalam.

Tegas Darell, sikap suka menyasarkan pihak lain bagi menutup kelemahan diri sendiri akan membawa kepada perpecahan dan  dan polarisasi di Malaysia

“Saya tertanya-tanya siapa yang menyerang orang Malayu atau sama ada terdapat konspirasi terselindung untuk menurunkan taraf orang Melayu seperti dakwaan Zainal.

“Tetapi, menyalahkan orang bukan Melayu atau menyerah kepada fahaman perlindungan (mengancam orang bukan Melayu) pastinya tidak akan membawa masyarakat Melayu ke arah kemajuan atau membangun.” kata  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Zainal dalam ucapannya semalam berkata, Malaysia adalah negara orang Melayu. Beliau mengingatkan kaum lain tidak melanggar kontrak sosial dengan orang Melayu atau kerakyatan mereka boleh “digantung”.

Leiking berkata, “kontrak sosial yang diwarisi” seperti disifatkan Zainal, boleh dianggap tidak wujud dalam konteks itu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia secara bersama.

Katanya, isu pewarisan kontrak sosial tidak patut timbul lagi kerana melalui Perjanjian Malaysia 1963, Malaysia bukan saja tanah orang Melayu, “tetapi tanah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Iban dan Dayak”.

“Jadi, saya harap Zainal akan faham dengan jelas yang Sabah dan Sarawak tidak ‘menyertai’, tetapi ‘membentuk bersama sebagai entiti berasingan’ persekutuan Malaysia.

“Beliau patut membuat kajian terperinci mengenai Perjanjian Malaysia 1963 sebelum menggunakan kontrak sosial di Malaysia sebagai asas penghujahannya.

Tambahnya lagi, menyifatkan serangan berterusan terhadap orang bukan Melayu tidak sihat kerana orang Melayu sudah menikmati faedah dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Post a Comment

0 Comments