Senpai Technologies : Tamrin Ghafar bidas Najib


PEMERHATI
politik, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar menyifatkan Najib Razak cuba menyalahkan orang lain berhubung dakwaan pembelian sistem dari Israel menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Melalui satu kenyataan Tamrin berkata, reaksi ditunjukkan Najib sama seperti ditunjukkannya ketika dihadapkan dengan tuduhan berkaitan pelbagai kes penyelewengan dan salah guna kuasa sebelum ini.

“Seperti biasa Najib menyalahkan orang lain seolah-olah tangan dan jiwanya bersih seperti juga isu 1MDB , SRC dan lain-lain kesalahan.

“Tidak hairan juga jika beliau (Najib) sekali lagi bersumpah di mana-mana masjid seperti kes pembunuhan Altantuya,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah portal Israel Calcalistech.com melalui laporan eksklusifnya pada 28 Mei lalu menyebut pentadbiran Najib telah membelanjakan AS$1.5 juta (RM6.5 juta) bagi membolehkan pasukan penyelidikan negara ini menggunakan sistem intipan dan analisis Israel.

Dedah laman web itu, sistem yang telah digunakan oleh Cawangan Khas (SB) itu untuk membolehkan semua maklumat aktiviti orang awam dikumpul dan dianalisa sebulan sebelum PRU-14 pada Mei 2018.

“Syarikat yang membangun dan membekalkan sistem itu kepada kerajaan Malaysia adalah Senpai Technologies Ltd, sebuah syarikat kecil cybersecurity Israel,” lapor laman web Israel yang mendakwa melihat dokumen mahkamah tersebut.

Mengulas lanjut, Tamrin mengimbas kembali tindakan kerajaan Umno-BN melantik APCO iaitu sebuah syarikat yang berkaitan rapat dengan organisasi pengintipan Israel dengan bayaran RM75 juta bagi membantu BN memenangi PRU-14.

“Walaupun pada mulanya kerajaan ketika itu menafikannya, namun atas desakan demi desakan akhirnya seorang menteri tampil membuat pengakuan dalam sidang Parlimen,” katanya anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba itu.

Tamrin sementara itu turut menyelar taktik mengelabui perbuatan kotor yang telah dilakukan individu yang melakukan kesalahan dengan berlagak alim.

Malah beliau turut mengkritik golongan ‘pemakan dedak’ yang sentiasa percaya kepada Najib cukup dengan bersumpah.

“Selepas kenyang seperti ular sawa, mereka tidak perlu sama ada telah ditipu, negara dan maruah mereka tergadai.

“Seolah-olah terlebih minum air ketum atau mabuk dadah, yang mereka diajar dan tahu hanya beberapa perkataan sahaja ‘Malu Apa BossKu’, Hidup Melayu dan Takbir , Allahuakhbar,” bidas Tamrin lagi.

Post a Comment

0 Comments