DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memberi perhatian kepada isu pengangguran dikalangan anak muda.
Gesaan itu dibuat dalam perbincangan dalam talian yang disiarkan di laman Facebooknya yang turut disertai empat anak muda - Arief Izuandi, Amir Asyrani, Aqil Zulkifli dan Mirza Mahmud - yang mengalami kesukaran mencari pekerjaan selama ini.
Anwar yang menyelami masalah diutarakan empat anak muda itu turut menyuarakan rasa bimbang dengan masalah pengangguran dihadapi belia terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kerajaan tegasnya perlu segera membantu golongan muda mencari pekerjaan,
"Hampir 800,000 kehilangan pekerjaan, dan kebanyakan mereka adalah belia.
"Saya tahu bahawa perdana menteri sibuk, tetapi dia sibuk memberikan pekerjaan kepada anggota Parlimen di Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC). Kita perlu menyelaraskan semula ekonomi dan memberi pekerjaan kepada 800,000 orang.
"Pelabur tidak akan yakin untuk melabur di negara ini jika anda hanya memberikan kekayaan itu kepada ahli politik," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Sebelum ini banyak pihak menggesa kerajaan dipimpin Muhyiddin Yassin mencari jalan menangani isu pengangguran dikalangan belia. Ia terutama ketika rakyat bergelut menghadapi kelembapan ekonomi susulan pendemik Covid-19.
Gesaan itu dibuat ditengah keghairahan kerajaan mengagihkan jawatan GLC kepada Ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu dalam video serupa, Anwar merumuskan dakwaan sering diabadikan oleh "pemimpin tua" bahawa pemuda, terutama orang Melayu, malas dan memilih pekerjaan sebagai mitos.
Dari hasil perbincangan itu, Anwar menegaskan bahawa golongan muda yang sering dilabel memilih kerja dan malas kebanyakkanya sanggup bekerja walaupun tidak sesuai dengan kelulusan dimiliki mereka.
“Mereka sanggup bekerja. Lulusan universiti bersedia menjadi guru Kafa (kelas fardhu ain), menjual sirap jagung, menjadi peniaga kecil. Ini menghilangkan tanggapan bahawa pemuda Melayu malas.
"Tuduhan oleh pemimpin lama ini menyebabkan halangan psikologi di kalangan pemuda dan membuat mereka kecewa," katanya.