USUL undi percaya dibawa PAS terhadap Perdana Menteri mempunyai maksud tersirat, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu.
Azan Ismail sebelumnya menyorot tindakan PAS yang mahu membawakan usul serupa terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika itu.
“Dulu masa Mahathir jadi perdana menteri, PAS pun cuba buat usul yang sama.
“Tetapi sebenarnya tersirat tidak menyokong Mahathir dan memang terbukti akhirnya menjatuhkan Mahathir untuk membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).
“Jangan pisang berbuah dua kali dengan kaedah yang sama. Usul undi percaya tetapi yang tersirat membawa maksud usul tidak percaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Usul undi percaya kepada Muhyiddin untuk dibentang dan dibahaskan dalam sidang parlimen yang dijadualkan bermula 13 Julai depan.
Setiausaha Agung parti itu, Takiyuddin Hassan berkata, usul yang ingin dibawakan itu bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap Muhyiddin .
Usul tersebut hadir ketika pembangkang turut mengusulkan undi tidak percaya terhadap bekas menteri dalam negeri ketika era Kerajaan HARAPAN itu.
Konsep usul percaya dan usul undi tidak percaya hampir serupa, dengan pengundian dibuat di Dewan Rakyat bagi menentukan sokongan yang dipegang oleh perdana menteri.
Sebagai rekod, PAS sebelum ini pernah menyatakan hasrat membawa usul untuk menyatakan sokongan terhadap Mahathir untuk Ahli Parlimen Langkawi itu menjawat jawatan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Bagaimanapun, tidak lama sebelum 'Langkah Sheraton' yang membawa kepada tumbangnya HARAPAN, PAS mengumumkan membatalkan usul berkenaan.
0 Comments