Anwar ajak rakyat renung kembali filem "Antara Dua Darjat"


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menonton kembali filem Antara Dua Darjat diarah seniman terkenal tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Gesaan itu dibuat tidak lama selepas keputusan pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas seorang ahli politik seperti dilapor media baru-baru ini.

"Dalam masa sama saya lihat beberapa hari lalu, seorang miskin masih dipenjara kerana kesalahan ratusan ringgit.

"Kita lihat umpama pengukuhan sistem perundangan yang ada dua darjat. Sebab itu filem Antara Dua Darjat ini kita kena tonton semula," kata Anwar.

Walaupun Anwar menegaskan beliau menyedari ada alasan diberikan terhadap pembebasan ahli politik itu, namun Anwar menegaskan ia sewajarnya dipertikai dan keputusan pembebasan itu tidak sepatutnya dengan mudah diberikan.

"Saya percaya secara umum kita tahu kalau saudara itu guru atau pekerja biasa, atau pun pekerja kilang mahu pun pegawai rendah kerajaan melakukan kesalahan, dihukum denda atau masuk penjara.

"Tetapi kalau saudara itu seorang tokoh politik besar, ratusan juta dan bilion ringgit, itu terlepas,” katanya dalam siaran langsung di Facebook, hari ini.

Sebagai rekod, filem terbitan Studio Jalam Ampas pada 1960 itu memaparkan kisah konflik cinta antara keturunan kaya dan miskin dan komplot serta muslihat tersendiri untuk golongan kaya membolot harta yang diwarisi oleh watak wanita dalam filem tersebut, Tengku Zaleha.

Sementara itu, Anwar melalui satu lagi hantara di laman Twitternya turut membandingkan kes ahli politik itu dengan nasib seorang buruh yang dipenjara 15 bulan setelah mengaku bersalah mencuri petai di sebuah kebun di Batu Rakit, Kuala Terengganu pada 4 Mac 2019 lalu.

"Yang mencuri petai meringkuk dalam penjara, yang curi juta-juta terlepas kerana punya rangkaian dengan yang berkuasa. Sistem jenis apakah ini?" ciap Anwar.

Post a Comment

0 Comments